Baca juga

Sepagi Di Pantai Pelindung Beserah Dengan Anak Dara

Sepagi Di Pantai Pelindung Beserah Dengan Anak Dara

Ahad weekend lepas, aku ambil kesempatan luangkan masa sepagi dengan dua orang anak dara aku. Si sulung dengan anak nombor dua. Yang seorang lagi tinggal dekat rumah dengan ibu dia. Saja nak keluar sekejap, tak perlu pergi jauh-jauh pun.


Kami pergi Pantai Pelindung, Beserah naik motor je. Nasib baik pantai ni dekat dengan rumah. Jadi memang senang. Tak perlu fikir pasal parking, tak perlu kemas kereta bagai. Naik motor, sampai pantai terus!

Sampai sana, apa lagi… anak-anak terus main pasir. Yang paling best, pantai dekat rumah ni memang sesuai untuk aktiviti macam ni. Nak kotor pun tak kisah sangat. Baju berpasir, kaki penuh pasir, tangan pun sama. Nanti balik rumah terus bilas. Hahaha!



Bagi aku, kadang-kadang quality time dengan anak tak semestinya kena pergi bercuti jauh atau keluarkan duit banyak. Naik motor, pergi pantai yang dekat, duduk sembang, main pasir dan ambil gambar pun dah cukup. Yang penting dapat luangkan masa dengan mereka.

Baca juga - Mandi Lumpur! Bukan Air, Kat Pantai Perpat, Rengit

Sepagi je pun, tapi puas hati. Anak-anak dapat main, Papa pun dapat luangkan masa dengan dua orang anak dara. Weekend simple macam ni lah yang aku rasa nanti akan jadi kenangan bila anak-anak dah besar. 

Enjoy...!!!

Keretapi Sarong 2026 - Aku Tak Pernah Join, Tapi Sarong Memang Sebahagian Hidup Aku

Keretapi Sarong 2026 - Aku Tak Pernah Join, Tapi Sarong Memang Sebahagian Hidup Aku

Kalau orang sebut sarong, sebenarnya benda tu bukan sesuatu yang asing bagi aku. Malah boleh kata sarong ni memang dah jadi sebahagian daripada kehidupan harian aku. Setiap hari aku pakai sarong. Nak tidur pakai sarong, duduk dekat rumah pakai sarong, nak pergi solat pun pakai sarong. Memang sarong ni antara pakaian yang aku paling selesa.

AI generated picture

Sampai pernah juga aku jalan ke mall pakai sarong. Bukan sebab nak bergaya atau nak ikut trend pun. Memang sebab selesa. Kalau balik daripada solat Jumaat pula, kadang-kadang siap berbaju Melayu dengan sarong. Bagi aku, itu memang pakaian yang biasa dan selesa.


Sebab tu bila sekarang orang mula bercakap tentang Keretapi Sarong 2026, aku rasa macam kelakar juga. Selama ni aku tak pernah pun join Keretapi Sarong. Aku cuma tengok orang lain dekat media sosial, tengok ramai-ramai pakai sarong, baju tradisional dan berkumpul untuk sambutan Hari Malaysia.

Tapi tahun ni lain sikit sebab Kuantan pun termasuk antara lokasi Keretapi Sarong 2026. Acara tahun ni juga merupakan edisi ke-10 dan akan berlangsung pada 16 September 2026 sempena sambutan Hari Malaysia. Jadi bila dah dekat dengan kawasan sendiri, tiba-tiba rasa macam, “Eh, boleh pergi ni.”

Sebenarnya kalau fikir balik, sarong ni memang dekat dengan kehidupan kita sebagai orang Malaysia. Ada orang pakai waktu solat, ada yang pakai dekat rumah, waktu tidur, pergi kedai makan dan macam-macam lagi. Cuma mungkin kita tak pernah terfikir yang satu hari nanti sarong ni boleh jadi sebahagian daripada satu acara besar yang meraikan budaya dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Jadi kalau tahun ni aku betul-betul nak join Keretapi Sarong, rasanya tak perlu pun nak fikir pakaian apa nak pakai. Sarong memang dah banyak dalam almari. Cuma mungkin kena pilih baju yang sesuai sikit supaya nampak macam datang sambut Hari Malaysia, bukan macam baru bangun tidur.

Baca juga - Gynae Cancer Awareness Run & Walk 2025. Santai-santai lari 5KM kat KOTASAS

Aku sendiri pun tak tahu lagi sama ada akan pergi atau tidak. Tapi sekurang-kurangnya tahun ni aku dah mula ambil tahu tentang Keretapi Sarong. Mungkin selama ni aku tak pernah join sebab acara tu rasa macam jauh daripada kehidupan aku. Bila dah ada di Kuantan, baru rasa macam lebih dekat.

Dan kalau korang nampak seorang lelaki pakai sarong, siap dengan baju Melayu, berjalan ramai-ramai dalam Keretapi Sarong dekat Kuantan pada 16 September nanti... mungkin aku lah tu.

Sebab hakikatnya, aku tak pernah join Keretapi Sarong, tapi sarong memang dah lama jadi sebahagian daripada hidup aku.

Nak tahu lebih lanjut tentang Keretapi Sarong 2026? Korang boleh baca info tentang tarikh, lokasi, tema dan jadual acara di laman eCentral – Keretapi Sarong 2026.

Enjoy...!!!

Mandi Lumpur! Bukan Air, Kat Pantai Perpat, Rengit

Mandi Lumpur! Bukan Air, Kat Pantai Perpat, Rengit

Hari tu masa balik kampung, kami ambil kesempatan lepak-lepak sekejap di Pantai Perpat, Rengit.

Kalau korang biasa pergi pantai yang airnya jernih dan pasir putih tu, pantai area kampung aku ni agak berbeza. Pantai Perpat ni menghadap Selat Melaka, jadi kawasan pantainya memang agak berlumpur, terutama bila air surut.


Tapi bagi budak-budak, benda macam ni bukan masalah pun.

Lumpur pun lumpurlah!


Yang dewasa ni kebanyakannya jadi penonton je. Duduk tepi pantai tengok budak-budak turun main lumpur. Yang penting jangan sampai mak ayah pula kena turun sekali.

Budak-budak memang seronok. Main, korek-korek lumpur, berjalan dalam lumpur sampai kaki tenggelam dan akhirnya...

balik dengan badan penuh lumpur!

Tengok gambar tu pun dah boleh agak betapa seronoknya mereka.

Sebenarnya aktiviti macam ni yang aku rasa best bila balik kampung. Tak perlu tempat mahal pun. Kadang-kadang cukup bawa anak-anak ke pantai, bagi mereka bebas bermain dan explore alam.

Cuma bezanya...

Orang lain pergi mandi laut.

Anak-anak aku pergi mandi lumpur.

Memang pengalaman lain macam!

Baca juga - Balik Kampung, Family Hangout Kat Dataran Pontian

Dan paling best, dapat luangkan masa dengan keluarga sambil menikmati suasana pantai kampung sendiri.

Pantai Perpat ni bukan sekadar pantai. Kalau datang waktu air surut, boleh dapat pakej spa lumpur percuma!

Enjoy...!!!

SUKMA 2026 Dah Nak Tamat! Korang Support Negeri Mana?

SUKMA 2026 Dah Nak Tamat! Korang Support Negeri Mana?

Kalau korang kaki sukan, mesti sekarang ni dah mula layan SUKMA 2026 kan? Tahun ni memang meriah sebab Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos 2026. Selangor pula kembali menjadi tuan rumah selepas kali terakhir menganjurkan SUKMA pada tahun 1998.

Untuk SUKMA kali ni, ada 469 acara melibatkan 37 jenis sukan, dengan pertandingan diadakan di pelbagai venue sekitar Selangor. Ada juga acara berbasikal trek yang berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan. Sebanyak 15 kontinjen, termasuk Brunei sebagai kontinjen jemputan, mengambil bahagian.

Tapi kalau tanya aku, antara semua sukan yang dipertandingkan, ada satu yang memang aku suka tengok iaitu olahraga.

Aku memang suka tengok acara berlari

Tak tahu kenapa, tapi kalau bab olahraga ni aku memang boleh layan. Lagi-lagi acara lari.

Mungkin sebab dia nampak simple. Tak perlu fikir sangat. Siapa paling laju, dia sampai dulu.

Tapi sebenarnya bila tengok pertandingan larian ni, memang menarik. Masa atlet dah berada di starting line, semua nampak tenang. Tunggu bunyi pistol...

PAP!

Terus semua pecut!


Yang aku suka ialah elemen kejar-mengejar tu. Kadang-kadang awal perlumbaan kita nampak seorang atlet jauh di depan. Kita dah rasa, “Okay, ni mesti dia menang.”

Tiba-tiba masuk 50 meter terakhir, atlet belakang mula potong!

Terus jadi...

“Ayuh! Ayuh! Ayuh!”

Lagi-lagi kalau beza antara tempat pertama dengan kedua tu sangat dekat. Tengok dari jauh pun boleh rasa berdebar.

Dan benda yang menarik tentang acara larian ni, bukan sekadar siapa yang paling laju. Kita boleh nampak strategi atlet juga. Ada yang start laju, ada yang simpan tenaga, ada yang tunggu masa sesuai untuk buat final push.

Sebab tu walaupun aku sendiri bukanlah pelari pecut tahap SUKMA, aku tetap suka tengok.

Olahraga SUKMA 2026 dah selesai

Untuk info korang yang mungkin nak cari jadual, acara olahraga SUKMA 2026 berlangsung di Stadium UPM, dalam kelompok venue Sepang. Pertandingan olahraga dijadualkan pada 16 hingga 20 Ogos 2026, dengan 47 pingat dipertandingkan.

Maknanya kalau korang baru nak cari acara olahraga sekarang, memang dah terlepaslah untuk edisi kali ni. Tapi masih banyak lagi acara SUKMA yang berlangsung sehingga 24 Ogos.

Dan sekarang ni memang menarik juga nak tengok pungutan pingat. Setakat kemas kini di laman Majlis Sukan Negeri Selangor yang aku semak, Selangor berada di tempat pertama, diikuti Terengganu dan Wilayah Persekutuan. Pahang pula berada di kelompok atas dengan kutipan 26 emas, 19 perak dan 30 gangsa pada kemas kini tersebut.

Korang support negeri mana?

Aku ni walaupun dah lama duduk Pahang, asalnya orang Johor. Jadi bab SUKMA ni kadang-kadang boleh jadi dilema juga. 

Nak sokong Pahang...

Boleh.

Nak sokong Johor...

Boleh juga. 

Tapi sebenarnya paling seronok tengok semua negeri bertanding. Lagi-lagi bila nampak atlet muda yang bersungguh-sungguh bawa nama negeri masing-masing.

Mungkin hari ni kita tengok mereka dekat SUKMA. Mana tahu beberapa tahun lagi ada antara mereka yang kita tengok pula beraksi untuk Malaysia di pentas SEA Games, Asian Games ataupun Olimpik.

Itulah yang best tentang SUKMA. Bukan sekadar nak kumpul pingat, tapi kita dapat tengok bakal-bakal juara negara mula mencipta nama.

Jadi...

Korang support negeri mana untuk SUKMA 2026 ni?

Aku? Hmm...

Pahang dulu lah!

 Maran Mega Campfest 2026 – Kaki Camping, Kena Tahu!

Maran Mega Campfest 2026 – Kaki Camping, Kena Tahu!

Tadi aku terbaca satu berita menarik kat Sinar Harian, terus rasa macam kena share dengan pembaca blog aku yang kaki camping. Kalau korang memang suka berkhemah dan cari port baru sekitar Pahang, ada satu program menarik bakal berlangsung tak lama lagi iaitu Maran Mega Campfest 2026. 


Program ni akan berlangsung pada 25 hingga 27 September 2026 di Maran, Pahang. Menariknya, konsep dia “Satu Daerah, Satu Perkhemahan”, dengan enam campsite terlibat serentak. Antaranya Campsite Air Terjun Teladas 7, Taman Ekorimba Lubuk Yu, Taman Rekreasi Che Minah Sayang, Bentara Campsite Kuala Sentul, Warisan Campsite Chenor dan Sky Garden Jengka. 

Jadi peserta boleh pilih campsite yang sesuai dengan citarasa dan pakej masing-masing. Hari pertama daftar masuk dan aktiviti santai, kemudian 26 September jadi hari kemuncak dengan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh setiap pengusaha campsite. Lepas tu 27 September check-out. Pendaftaran pula dibuat secara online. 

Aku tengok konsep macam ni memang menarik juga. Bukan sekadar pergi camping, tapi boleh jumpa komuniti campers dari negeri lain, kenal campsite baru dan dalam masa yang sama explore tempat-tempat menarik sekitar Maran. Kalau memang kaki camping tegar, mungkin boleh masukkan program ni dalam calendar siap-siap.

Aku sendiri bukanlah hardcore camper sangat, tapi bila tengok program macam ni rasa macam menarik juga. Tambah pula Maran bukanlah jauh sangat dari Kuantan. Boleh camping, boleh healing, boleh lari sekejap daripada kesibukan kerja. Hahaha!

Apa-apa pun, aku share info ni sebab mana tahu ada pembaca blog aku yang memang kaki camping dan tengah cari aktiviti untuk September nanti. Boleh baca maklumat penuh daripada artikel asal Sinar Harian di sini:

Baca artikel penuh Sinar Harian – Maran Mega Campfest 2026⁠

Korang yang kaki camping, ada yang plan nak join tak?

Enjoy...!!!

HEAL Program – Move for Health, Jalan Laju Pun Boleh Menang!

HEAL Program – Move for Health, Jalan Laju Pun Boleh Menang!

Kali ni nak cerita pula pasal salah satu aktiviti dalam program HEAL kat company aku. HEAL ni nama panjang die Health Eating Active Life Style lebih kurang satu inisiatif untuk galakkan staf-staf kat tempat kerja cuba amalkan gaya hidup yang lebih sihat. Jadi memang ada macam-macam aktiviti berkaitan kesihatan, pemakanan dan aktiviti fizikal. Kind of diet program la.


Untuk aktiviti kali ni, kami buat Move for Health di Taman Bandar. Konsepnya nampak simple, dengan berjalan kaki bersama-sama. Tapi jangan ingat jalan kaki ni tak mencabar. Sebab selain berjalan santai, ada juga satu cabaran kecil untuk peserta. Siapa yang paling cepat habiskan 3 pusingan, dialah pemenangnya.

Tapi ada satu syarat penting…

DILARANG BERLARI...!!!

Jadi memang kena guna teknik jalan laju. Yang kaki panjang, memang ada sedikit advantage. Macam aku. Hahaha! Masing-masing pun mula keluar skill masing-masing. Ada yang jalan macam biasa, ada yang mula panjangkan langkah, dan ada yang nampak macam tengah kejar flight. Tapi semua masih kena ingat, jangan sampai dua kaki terangkat serentak!


Aku pun apa lagi… bila dah nampak ada hadiah, terus rasa macam ni bukan lagi jalan santai. Ini dah jadi pertandingan. Aku cuba jalan selaju yang boleh tanpa melanggar syarat. Kena jaga pace, kena tahan nafas dan paling penting kena pastikan tak terbawa-bawa nak berlari.

Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya habiskan 3 pusingan paling cepat dan dapat nombor 1!


Memang tak sangka juga. Datang asalnya nak join aktiviti HEAL dan jalan-jalan dengan kawan-kawan. Tapi bila naik syeikh, kita tinggal kawan-kawan yang lain. Hahahaha. Sekali dapat pula hadiah. Boleh tahan juga jalan laju aku hari tu.

Lepas selesai challenge, kami buat sesi cool-down dan stretching. Masa ni baru rasa balik apa yang dah dibuat tadi. Hahaha! Tapi best sebab semua sporting dan sama-sama enjoy aktiviti.

Bagi aku, aktiviti macam ni memang menarik. Nampak simple, tapi dalam masa yang sama kita dapat bergerak, berpeluh dan berseronok dengan colleagues. Lagi satu, ada sedikit elemen pertandingan tu yang buat semua orang lebih bersemangat.

Baca juga - Wellness Hiking Challenge 2026 – Hiking Bukit Tembeling Teruntum

Kadang-kadang kita tak perlukan exercise yang terlalu complicated pun. Jalan kaki pun dah boleh jadi aktiviti yang bagus. Tambah pula kalau dibuat bersama-sama.

Dan untuk aku, hari tu dapat satu lagi pengalaman baru…

Jalan kaki pun boleh menang hadiah!

Terima kasih kepada team HEAL yang menganjurkan aktiviti ni. Harap lepas ni ada lagi aktiviti yang macam ni. Cuma kalau ada cabaran jalan laju lagi, aku dah tahu dah…

Jangan lari. Panjangkan langkah!

Enjoy...!!!

Family Gathering: Penat Sebelum, Seronok Semasa, Penat Lepas Balik

Family Gathering: Penat Sebelum, Seronok Semasa, Penat Lepas Balik

Dah lama rasanya aku tak buat family gathering macam dulu. Bila teringat balik trip family ke Negeri Sembilan, terus rasa macam… eh, bila agaknya nak buat lagi ni?

Kalau bercuti dengan family besar, memang satu benda yang tak boleh lari, iaitu penat!



Penat masa nak plan. Nak cari tarikh yang semua orang boleh. Nak fikir tempat tidur, makan, bajet, aktiviti dan macam-macam lagi. Dulu masa trip ke Negeri Sembilan pun lebih kurang macam tu. Aku siap cerita panjang pasal proses merancang percutian family besar dalam entry ni: Plan Percutian Sempurna untuk Family Besar: Penat Tapi Berbaloi!.


Lagi satu, bila family dah ramai, nak bergerak pun satu hal. Ada yang kena tunggu anak kecil, ada yang nak berhenti makan, ada yang lambat bersiap. Tapi itulah yang menjadikan trip family ni berbeza. Kalau pergi seorang atau dengan family kecil, semuanya boleh ikut kepala sendiri. Bila ramai-ramai, kena banyak bertolak ansur dan tunggu antara satu sama lain.

Tapi bila semua dah berkumpul... Seronok dia lain macam.

Dapat makan ramai-ramai, borak sampai malam, anak-anak bermain sama-sama, ambil gambar, jalan-jalan dan buat benda yang mungkin nampak biasa tapi sebenarnya jadi kenangan. Kadang-kadang bukan tempat yang kita pergi pun yang paling kita ingat. Yang kita ingat ialah gelak tawa, cerita-cerita masa dalam perjalanan dan perangai masing-masing sepanjang trip.

Lepas balik? Penat lagi.....

Kemas barang, basuh baju, anak-anak kembali ke rutin sekolah dan kita pula sambung kerja macam biasa. Badan memang minta sehari dua untuk recover. Tapi bila tengok balik gambar-gambar yang diambil sepanjang perjalanan, tiba-tiba rasa penat tu macam berbaloi pula.

Sebab bila umur makin meningkat, aku rasa family gathering ni bukan lagi sekadar pasal bercuti. Ia lebih kepada mencuri sedikit masa untuk berkumpul dengan orang yang kita sayang. Kita tak tahu sampai bila semua orang masih ada kesempatan, masih sihat dan masih boleh berkumpul macam sekarang.

Jadi sekarang aku dah mula teringat… Bila nak buat family trip lagi ni?

Penat sebelum, seronok semasa, penat selepas. Tapi akhirnya, memori tu yang tinggal.

Enjoy...!!!

Papaglamz © . Designed by MaisarahSidi.com